Kisah insan luar biasa dalam jubah biasanya. Kembara kerohaniannya berjejak di bumi nyata merentas daratan dan lautan, pada zaman sarat pergolakan, hingga turut memukau musuh-musuh ketatnya yang berbeza kepercayaan, kerana tokoh yang terpilih ini berjaya mengangkat makna terdalam dari samudera ajaran agamanya. Novel ini menyerikan strategi naratifnya dengan seaneka metafora keagamaan, serta anyaman bahasa seorang pengarang yang lincah bercerita, santun dan rinci pengamatannya. Novelis berkebolehan menjelmakan sesuatu yang abstrak menjadi adegan-adegan yang dapat divisualkan oleh pembaca.

Mustafa, Spiritual Epic of A Kiai

The story of an extraordinary individual in ordinary robes. His spiritual journey traces the real world across lands and seas, in times of upheaval, captivating even his staunch enemies of different beliefs. The protaganist uplifts the profound meaning of the ocean in his religious teachings. Infused with various religious metaphors, the abstract is transformed into scenes that the reader can visualise.

Petikan | Excerpt

Jauh di dalam kebun pisang di Bukit Temak, kehadiran Kiai Mustafa di situ terus dirahsiakan. Terutama daripada pengetahuan Leftenan Kolonel Young dan konco-konconya.

Dengan tekun Wak Ehsan terus mengurusi kecederaan lecur di belakang tubuh orang alim yang zuhud itu. Arif dengan perubatan tradisional, Wak Ehsan memunggut beberapa kulit kayu dan memetik daunan hutan, dilumat dengan menumbuknya hingga hancur menjadi semacam lempeng lembab, lalu ditekapkan ke kulit belakang Kiai Mustafa yang melecur. Kesannya amat nyata. Dengan berkat air Tahlil Maulid yang direnjis ke tempat melecur itu, kulit Kiai Mustafa membaik pulih dan mula kering memutih. Namun parutnya terus kekal.
Kiai Mustafa terus mendirikan solat fardu dalam keadaan berdiri. Kemudian perlahan-lahan rukuk dan lebih perlahan untuk sujud. Beberapa orang tetamu yang dibawa secara sulit menziarahi Tuan Guru itu, sedih melihat keadaan Kiai Mustafa yang mereka kasihi terpaksa bersolat dalam keadaan begitu. Kemudian menahan sakit saat membaca Al Quran, berwirid dan menyampaikan nasihat.

“Kita bunuh saja Atan Bongek itu, Kiai,” kata Pilus dengan marah sebaik sahaja Kiai Mustafa menghabiskan minuman air jarang yang disediakan di sebelahnya.
“Termasuk pembelot-pembelot itu semua,” sambut Abdul Haleem dengan marah menguasai suasana pertemuan malam Ahad di pondok persembunyian Wak Ehsan.

Mereka berdua bersama Baslah dan Wak Ehsan berkumpul mengelilingi Kiai Mustafa selepas majlis Tahlil Maulid mingguan malam Isnin sebelum solat isyak berjemaah.

Pertemuan Baslah, Pilus dan Abdul Haleem dengan Tuan Guru mereka itu telah diatur dengan cermat.

Mereka bertiga termasuk Wak Ehsan menunggu reaksi Kiai Mustafa daripada desakan amarah Pilus dan Abdul Haleem.

“Ada anak-anak buah abang ipar saya, askar-askar Sepoy yang mula terpengaruh ingin menyertai jihad yang dicanang Abdus Salaam,” sambung Abdul Haleem melihat Kiai Mustafa tidak memberi sembarang reaksi.

“Agama tauhid Islam ini tidak dibangunkan dengan kekerasan. Apalagi membunuh sesama Muslim. Pejuang Islam perlu meningkatkan iman dan taqwa untuk mendapatkan pertolongan Allah,” kata Kiai Mustafa yang masih tidak mampu bersandar.

“Semua toifah, kumpulan atau gerakan Islamiah yang benar-benar ikhlas akan mendapat pertolongan dan dilindungi insya-Allah. Kita serahkan kepada Allah untuk menghukum orang-orang yang mengkhianati agama-Nya.”

Semua yang mendengar jawapan Kiai Mustafa faham akan keterlanjuran kata-kata mereka.

“Hamzah masih dilokap?” Tiba-tiba Kiai Mustafa bertanya.

“Ya Kiai. Dilokap di Balai Polis Bukit Mutiara,” jawab Pilus.

“Ada kabar, dia hendak dipulangkan ke istana Johor,” tambah Baslah.

“Usahalah untuk bebaskan Hamzah. Bawa dia jumpa saya,” suruh Kiai Mustafa.

Mendengar permintaan itu, Pilus terus bantutkan niatnya hendak mengadu masalah peribadinya kepada Kiai Mustafa.
Sebelum datang ke situ, Pilus telah berbincang dengan Sanusi bagaimana hendak membuang beberapa amalan-amalan mantera yang hampir sebati dengan jiwanya. Amalan-amalan khurafat menjadikan makhluk-makhluk halus sebagai pendinding dan pembantu sebagai ahli kongsi gelap yang digeruni suatu masa dulu.

Sanusi menasihatinya bertemu Kiai Mustafa sebagai jalan keluar jika dia benar-benar ingin bertaubat dan sungguh-sungguh ingin menyertai perjuangan suci Islam.

Demikian juga halnya dengan Abdul Haleem. Dia yang gamam mendengar permintaan Kiai Mustafa tadi, turut menunda hasratnya meminta izin membawa Staf Sarjan Jamender Ali Khan datang ziarah ke pondok tengah Bukit Temak itu.

Kedua-dua anak murid itu secara rohaniah akur, saatnya belum sesuai. Keperluan Tuan Guru mereka lebih mendesak untuk dipenuhi.