Anugerah Persuratan merupakan usaha berterusan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) untuk mengiktiraf penulis yang aktif dalam bidang seni persuratan. MBMS telah menganjurkan acara ini sejak tahun 1993. Selain memberi pengiktirafan, anugerah ini juga turut berperanan meningkatkan mutu penulisan, memupuk perkembangan karya bahasa Melayu, menggalakkan penerbitan karya yang berkualiti dan memasyarakatkan bidang persuratan.
Anugerah Persuratan 2026
Version
Objektif Anugerah Persuratan
Anugerah Persuratan dilaksanakan dengan objektif berikut:
- Memberikan pengiktirafan kepada para penulis yang telah menghasilkan karya yang bermutu dan bernilai;
- Meningkatkan mutu dan memupuk perkembangan karya bahasa Melayu;
- Menggalakkan penerbitan karya yang berkualiti; dan
- Memasyarakatkan bidang persuratan.
Anugerah yang diberikan untuk Anugerah Persuratan
Anugerah Tun Seri Lanang
Anugerah Tun Seri Lanang diperuntukkan kepada seorang tokoh persuratan yang memiliki keunggulan sebagai:
- Tokoh seni yang terkemuka dan dihormati oleh masyarakat berbilang bangsa dan budaya di Singapura;
- Tokoh bertaraf antarabangsa melalui pengiktirafan terhadap karya besar mereka;
- Pejuang seni yang menumpukan sebahagian besar usia dan kehidupan mereka untuk menyuburkan dan menyemarakkan bidang persuratan;
- Penyumbang dan pemaju pemikiran masyarakat dalam konteks pembangunan melalui karya mereka sama ada berbentuk kreatif atau bukan kreatif; dan
- Tokoh teladan yang menimba ilmu sepanjang hayat yang terus berusaha meningkatkan ilmu dalam bidang persuratan.
Anumerta Tun Seri Lanang
Anumerta Tun Seri Lanang dianugerahkan kepada tokoh persuratan yang telah meninggal dunia. Kriteria pemilihan tokoh sama seperti Anugerah Tun Seri Lanang. Hadiah anugerah akan diberikan kepada keluarga tokoh.
Anugerah Harapan
Anugerah Harapan diberikan kepada penulis bawah usia 40 tahun yang menampakkan potensi dalam bidang persuratan sama ada:
- Menjadi teraju utama dalam usaha menggerakkan bidang persuratan, termasuk cerpen, puisi, novel, drama, karya bukan berbentuk kreatif dan lain-lain;
- Meluangkan masa untuk berkongsi ilmu dan kemahiran persuratan dengan golongan muda atau pelajar; dan
- Menghasilkan karya yang berisi dan menambah nilai dalam penulisan kreatif mahupun bukan kreatif, sama ada dalam bentuk media bercetak atau elektronik demi memajukan pemikiran masyarakat.
Hadiah Persuratan
Hadiah Sastera dianugerahkan kepada penulis dalam pelbagai genre seperti novel, cerpen, dan puisi sebagai pengiktirafan terhadap keunggulan karya sastera mereka.
Penghantaran Karya untuk Hadiah Persuratan
Penghantaran karya untuk dinilai bagi AP 2026 sudah bermula. Soalan Lazim boleh dirujuk di sini.
Untuk menghantar karya melalui borang penyertaan dalam talian, sila lungsuri laman ini.
Pencalonan untuk Anugerah Tun Seri Lanang, Anumerta Tun Seri Lanang dan Anugerah Harapan
AP 2026 mengalu-alukan pencalonan untuk Anugerah Tun Seri Lanang, Anumerta Tun Seri Lanang dan Anugerah Harapan. Untuk menghantar pencalonan melalui borang dalam talian, sila lungsuri laman ini.
Tarikh Tutup Penyertaan/Pencalonan
Tarikh tutup penyertaan karya dalam talian serta pencalonan ialah Selasa, 15 September 2026, jam 6 petang.
Sekiranya anda memerlukan bantuan atau ada pertanyaan lain, sila e-mel Puan Celine ([email protected]) atau Puan Noor Ashikin ([email protected]), atau hubungi Puan Celine di talian 6342 5119.



