Bagai kotak Pandora yang terbuka dan mendedahkan segala isinya, cerpen-cerpen ini membukakan jiwa yang menyimpan segala rasa yang bergolak di dalam sedar dan di bawah sedar. Tujuan hidup ke arah matlamat tauhid adalah jalan yang tidak mudah. Ia dilingkungi dengan segala tanya yang harus ditemukan jawabnya. Mitos dan realiti bergaul membawa dunia tanya ke garis horiszontal dan vertikal. Siapakah yang mampu menjawab segala tanya yang bergolak dari dalam jiwa.

Dusk

Like a Pandora's box that opens and exposes all its contents, these short stories open the soul that keeps turbulent feelings in the conscious and subconscious. The purpose of life towards the goal of monotheism is a path not easily traversed. It is surrounded by all the questions that need to be answered. Myths and realities mingle to bring the world of questions into both horizontal and vertical lines. Who is able to answer all the questions that stir within the soul?

Petikan | Excerpt - "5 SEN DAN LELAKI BERSAYAP PUTIH"

“Hanya doa yang kupunya. Hanya doa... kupunya.”

Lelaki itu memandangku dengan tenang. Ada sesuatu tentang lelaki itu. Dia begitu ramah dengan senyuman. Sayangnya, senyumannya membuat hatiku terasa teramat hiba. Aku menangis, menutup mataku dengan telapak tangan yang masih menggenggam 5 sen dan yang terbuka sambil mencangkung. Kubiarkan air mata hiba ini menenggelami alam ini yang penuh kesedihan

"Doalah, Dik. Doalah selagi Adik masih berharap, masih ada keinginan. Berdoalah selagi itu sahaja punya Adik."

Aku membuka mataku.

Kulihat... sepasang sayap putih tumbuh dari kedua belah belakang bahagian bahu lelaki itu. Semakin banyak bulu-bulu putih tumbuh. Ah, tiada perbendaharaan bahasa mampu kuperkatakan keindahan sayap itu. Lelaki itu membuka sayapnya. Dia masih ramah dengan senyuman. 

“Apa itu?” aku bertanya sambil menuding jariku ke arah sepasang sayap putih di belakangnya. Lelaki yang ramah dengan senyuman tidak menjawab. Dia hanya mendiamkan diri sambil memerhatikanku dengan sepasang matanya yang redup. 

Ah, seredup langit dimendungkan gumpalan awan hitam. 

“Mahukah Adik mengirim doa Adik ke langit?” tanpa semena-mena lelaki itu bertanya.

Mataku berkedip-kedip bak bintang malam di langit. Otakku yang masih terlalu mentah untuk memahami, menangkap setiap perkataan dengan kekeliruan yang mendengungkan. 

“Ah, ke langit? Bolehkah?” aku menggumam. “Oh ya, dia miliki sayap. Pasti dia boleh terbang,” kukata kepada diriku sendiri. 

“Hahaha… Mahu tak?” Antara tawa yang melirih indah dan pertanyaan sederhana itu terdengar rumit untuk kufahami. Tetapi setelah beberapa saat aku terdiam, akhirnya aku anggukkan kepala tanda mahu.

“Ada syarat!”

“Syarat?”

“5 sen itu!”

Aku kaget. Tidakkah dia tahu betapa besarnya nilai 5 sen itu, buat kami? Aku dan adik-beradikku yang lain. Aku menjadi resah. Air mata ketidak-dayaan mulai mengalir. Aku tundukkan kepala. Mindaku bekerja keras, membuat perkiraan, andaian dan pelbagai macam hitungan…

“Bukankah hanya doa yang Adik punya?” 

Aku mendongak kepala lalu memandangnya. Kugenggam 5 sen itu. Angin malam menyapa dan menghembus kami dengan ramah, seramah senyuman lelaki itu. Aku lihat langit malam. Aku tatap kegelapan langit bersama purnama dan bintang-bintang. Langit, purnama dan bintang-bintang seakan menyakinkanku bahawa cagaran 5 sen buat sekeping doa boleh mendatangkan keuntungan kepadaku.

Dan, aku juga ingin merasai nikmat dapat terbang ke langit. Siapa tahu, aku mungkin jumpa Nabi Isa di antara lapisan langit? Tiada mustahil, bukan? Bukankah Nabi Isa diangkat ke langit oleh Tuhan? Kata Ibu, aku wajib mempercayai itu. Aku tidak ada hak untuk mempertikaikannya juga. Memikirkan kemungkinan itu membuat aku girang. Tanpa berfikir panjang, aku tersenyum dan dengan segenap yakin, menjawabnya.

“Saya mahu!” kataku sambil mengusap airmata di pipi. “Ambil 5 sen ini!” 

Lelaki berpakaian serba putih mengambil 5 sen itu. Dengan mudah, dia mengamgkat dan mendukungku seperti seorang ibu mendodoi anaknya dengan manja. Aku tidak gentar. Aku rasa nyaman. Tenang. Hati ini melonjak kegembiraan apabila kedua sayap lelaki itu berkibas-kibas. Dengan perlahan, bersama angin malam, lelaki yang ramah dengan senyuman dan miliki sepasang sayap putih, membawaku ke langit yang jauh.