Betapa beruntungnya pelajar baharu di Maktab Rendah Angkasa, Zilla, yang mempunyai keluarga yang kaya-raya. Abangnya, Adi, juga dikagumi kawan-kawannya kerana berjaya belajar ke universiti terkemuka di dunia. Zilla ghairah menceritakan tentang rumahnya yang mahal, bapanya yang bakal membeli sebuah pasukan bola sepak di Sepanyol dan abangnya yang di luar negara. Namun, di sebalik tawa riangnya, Zilla sebenarnya menyimpan rahsia hitam. Dirinya, abangnya, ibu bapanya dan hidupnya tidaklah seindah yang digambarkan. Apabila rahsia sebenar hidupnya dibongkar, adakah kawan-kawan baiknya, Azlina dan Laila, masih mahu bersahabat dengannya? Adakah istana yang Zilla bina di awang-awangan akan jatuh hancur berderai?

Castles in the Sky

How lucky that the new student at Angkasa Junior College, Zilla, comes from a wealthy family. Her brother, Adi, is also admired by his friends for being at a top university. Zilla eagerly talks about her expensive house, her father's upcoming purchase of a football team in Spain, and her brother who is abroad. However, behind her cheerful laughter, Zilla harbours a dark secret. Her own life, her brother's, her parents', and everything she portrays are not as perfect as they seem. When the true secret of her life is unveiled, will her good friends, Azlina and Laila, still want to be friends with her? Will the castle that Zilla has meticulously built in the clouds come crashing down?

Petikan | Excerpt

Semenjak kejadian diserang Adi, Zilla tidur di dalam bilik. Kadangkala dia ditemani Ibu atau neneknya. 

Zilla banyak bersendirian dan mendiamkan diri. Apabila hendak makan, Zilla akan mencedok lauk dan makan dalam bilik. Dia tidak lagi bertegur sapa dengan abangnya. Apabila Adi memanggil namanya, Zilla akan jalan menonong. Zilla juga akan pastikan pintu bilik dikunci rapi apabila dia hendak tidur.

Zilla tidak lagi memakai seluar pendek atau kemeja-T tanpa lengan di rumah. Dia akan memakai seluar panjang dan baju lengan panjang. 

Dia juga tidak duduk di ruang tamu atau meja makan untuk menghabiskan kerja sekolah. Dia akan pergi ke perpustakaan sekolah untuk mengulang kaji pelajaran. Adakalanya, dia akan bawa buku dan mengulang kaji di perpustakan awam, kelab masyarakat atau di kolong blok.

Pernah beberapa kali, dia terfikir untuk lari ke rumah Mak Long. Namun, Zilla tidak mahu Mak Long campur tangan dengan urusan Ibu. Mak Long akan berleter kepada Ibu untuk hantarkan Adi ke sekolah istimewa supaya dia dilatih dan dilengkapkan dengan kemahiran asas. Mak Long yakin Adi boleh bekerja dan menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.

Apabila Ayah ditahan, semua rancangan itu musnah begitu sahaja. Ibu juga disoal siasat kerana kemungkinan terbabit dengan kes pengedaran dadah yang Ayah lakukan selama ini. Selama sebulan, Adi dan Zilla dihantar ke rumah tumpangan.

Zilla dihantar ke sebuah rumah tumpangan khusus untuk kanak-kanak dan remaja perempuan. Dia tidak tahu bagaimana Adi dijaga. Setiap malam di rumah tumpangan itu, Zilla menangis dan berdoa.

Ibu terpaksa meninggalkan rumah flat lima bilik mereka dan dengan bantuan suami Mak Long yang merupakan seorang ejen rumah, dia mendapat sebuah rumah sewa yang kini mereka huni. 

Setelah keadaan Ibu didapati tidak bersalah dan keadaanya lebih stabil, Zilla dan Adi dibenarkan pulang ke rumah sewa itu. Nenek juga berpindah ke rumah itu untuk menjaga Zilla dan Adi. 

Dari kecil, Zilla sudah tahu abangnya tidak seperti kanak-kanak lain. Malah, abangnya bersifat lebih kebudak-budakan daripada Zilla sendiri yang dua tahun lagi muda. 

“Abang kamu itu anak syurga,” suara Nenek berterusan terngiang-ngiang dalam benak Zilla. 

Kalau betul abangnya anak syurga, kenapa hidup sebumbung dengannya terasa seperti berada dalam neraka?