Wabak Virage-20 yang mengganas telah mengakibatkan mangsa-mangsanya menderita kesan sampingan, iaitu kulit yang berkedut-kedut. Pempengaruh muda, Kamilla, daripada saluran YouTube Kamilla Aida, telah menemui penawar untuk masalah kulit ini, iaitu KliyoMajik. Krim ini dapat mengembalikan ketegangan dan kehalusan kulit. Malangnya, KliyoMajik membuat kulit Kamilla semakin berkedut. Malah, dalam tayangan siaran langsung yang dilakukan, kulitnya mengelupas seperti ular. Maka, mulalah pencarian sumur usia yang elusif oleh Kamilla dan rakannya, Asrul. Pengembaraan mereka bakal membawa ke dalam dunia alternat yang masih menampung Perpustakaan Alexandria dan Rumah Api.

Age Antidote

The raging Virage-20 epidemic has caused its victims to suffer from wrinkled skin as a side effect. Young influencer Kamilla, from the YouTube channel Kamilla Aida, has discovered a remedy for this skin problem called KliyoMajik. This cream can restore skin's firmness and smoothness. Unfortunately, KliyoMajik made Kamilla's skin even more wrinkled. In fact, during a live broadcast, her skin peeled off like a snake's. Thus, Kamilla and her friend Asrul began their search for the elusive fountain of youth. Their adventure takes them to an alternate world that still houses the Library of Alexandria and the Lighthouse.

Petikan | Excerpt

Wabak yang baru menimpa dunia ini lain daripada lain. Virusnya berbeza. Simptomnya tidak terduga. Corak penularan juga tidak sama. 

Sesiapa sahaja yang dijangkiti penyakit baharu ini akan mengalami proses penuaan dengan terlalu cepat. Usia zahir seseorang itu akan tiba-tiba melompat. Daripada 20 tahun kepada 40 tahun. 40 tahun menjadi 80 tahun. Begitulah taksirannya. 

Wajah yang muda remaja akan menunjukkan kedut-kedut kematangan. Kulit yang sudah tua pula akan mereput bagaikan disedut segala zat dan khasiat. Umpama biji-biji kismis yang telah disimpan terlalu lama dalam peti sejuk sehingga terlepas tarikh luputnya (tapi masih nak makan juga). 

Virus ini rakus memamah sel-sel sihat dalam sistem tubuh manusia kerana nalurinya sama seperti manusia–mereka mahu membiak dengan lebih pesat.   

Tiada mana-mana pihak yang betul-betul pasti akan punca wabak ini. Dari mana datangnya? Apa pencetusnya? Apa penawarnya? Pertubuhan Kesihatan Sejagat (PKS) lebih sibuk menitikberatkan gesaan agar nama virus ini tidak berbaur unsur perkauman atau diskriminasi. Mereka kemudian melabelkan penyakit ini sebagai ‘Virage-20’. 

Angka '20' merujuk kepada tahun 2020–iaitu tahun jangkitan virus ini dikesan buat kali pertama. Ada sesetengah pihak yang memahami istilah tersebut sebagai virus yang dalam keadaan rage–sedang meradang dengan berang. Penutur bahasa Melayu pula menterjemahkan ia sebagai 'Virus Usia' atau 'Virusia-20'. Kedua-duanya boleh. Persamaannya bersifat denotatif. Maknanya tidak berubah.       

Justeru, negara-negara dunia dipaksa mengekang penularan pandemik ini dengan menutup semua pintu masuk dan keluar. Semua penduduk diarahkan duduk diam-diam di dalam petak sendiri; duduk di dalam rumah sendiri, duduk di atas kerusi sendiri. Melainkan untuk tugas-tugas berkeperluan sahaja. Sehinggalah muzik berhenti. Sehinggalah lagu mati. 

Bumi seolah-olah dikunci. Jadinya sunyi dan sepi.

Begitulah juga Kamilla sejak akhir-akhir ini.

Pusing pergi, pusing balik, masuk bilik, keluar balik. Masuk dapur, keluar ruang tamu. Keluar-masuk tandas sampai naik rimas. 

Kamilla harus berwaspada. Setiap dua-tiga jam, Kamilla akan menatap mukanya di cermin, sekejap tengok, sekejap jenguk, sekiranya ada perubahan ketara atau tidak. Manalah tahu kalau tiba-tiba dijangkiti Virusia yang ditakuti ramai itu. 

Malam itu, entah untuk kesekian kali, Kamilla melangkah masuk ke dalam bilik mandi di unit kondominium yang disewanya untuk memantau keadaan wajah. Lilin beraroma vanila dinyalakan. Lagu berentak jaz dialunkan dari telefon. 

Kamilla merenung pantulan di cermin. Kulitnya seperti kulit telur. Licin. Ditekan-tekan dengan jari. Kenyal. Mentang-mentanglah baru berusia 21 tahun. Baru menjejakkan kaki di depan gerbang kedewasaan. Baru dapat kunci emas. Namun, tanpa disangkanya ... 

Ehhh, alamak?!

Macam mana boleh ada garis-garis kat leher ni? 

Ehhh?! 

Macam mana boleh ada kedut-kedut kat dahi ni?

Kamilla mula cemas. 

Dag-dug. Dag-dug. Dag-dug.

Jantungnya deras berdegup.

Diteliti sekali lagi. Wajahnya ditekan-tekan. Ditenyeh-tenyeh. Tiba-tiba, kulitnya seperti merekah. Digosok-gosok sedikit. Merah. Semakin gatal pula. Ditatap cermin sekali lagi. Seutas dua rambutnya sudah bertukar warna. Memutih serta-merta.  

Arrrggghhh! 

Jiwa Kamilla memberontak dalam diam. 

Tidak, tidaaaak!!!